Semua individu pernah berasa sunyi. Namun kesunyian itu sendiri mempunyai beberapa jenis maksud bergantung kepada konteks penggunaannya.
Ada individu yang berasa sunyi kerana mereka keseorangan. Ada individu yang berasa sunyi walaupun mereka berada di tempat keramaian.
Mereka yang dikelilingi oleh kenalan tetapi tetap berasa sunyi lebih berisiko untuk mendapat penyakit mental berbanding dengan mereka yang mempunyai ikatan sosial yang kuat dengan individu lain.
Aspek kesihatan sosial penting dalam memastikan kesihatan individu secara menyeluruh berada pada tahap yang optimum.
Menurut Pakar Psikologi David Narang, ia tiada kaitan dengan jumlah kenalan dalam hidup anda tetapi ia lebih kepada aspek hubungan emosi.
Kajian yang dijalankan oleh Cigna pada tahun 2020 telah mendapati bahawa 61% daripada 10,000 subjek di Amerika Syarikat berasa sunyi.
Konsep kesunyian yang dimaksudkan bukanlah satu keadaan di mana kita tinggal berseorangan. Ia merupakan kesan psikologi yang membuatkan kita berasa keseorangan walaupun hakikatnya ada ramai individu di sekeliling kita.
Artikel ini akan membincangkan 7 perkara yang boleh anda lakukan untuk hilangkan kesunyian anda. Teruskan membaca.
1. Jika berasa sunyi, cari individu lain untuk bersosial
Tiada manusia yang boleh hidup berseorangan di dunia ini. Walaupun anda tidak mempunyai ramai kenalan, hakikatnya, anda pasti mempunyai seorang teman yang tahu serba sedikit tentang diri anda.
Ini termasuklah ahli keluarga, saudara mara, kenalan tempat kerja atau rakan lain. Salah satu kunci kesembuhan kepada masalah kesunyian adalah interaksi sosial dengan individu lain.
Jika anda mempunyai teman baik, ajak mereka keluar minum kopi dan berjalan-jalan. Hanya interaksi sosial yang boleh memenuhi kehendak anda untuk berkomunikasi dengan individu lain dalam proses hilangkan kesunyian.
Interaksi ini tidak terhad kepada dunia nyata sahaja. Kemudahan teknologi membolehkan kita untuk berkomunikasi di alam maya. Luahan perasaan, bertegur sapa dengan kenalan lama dan bertanya khabar kepada keluarga mampu mengisi ruang kekosongan di jiwa.
2. Nikmati keindahan alam semula jadi jika anda sunyi
Menurut Dr Jeremy Nobel, Presiden The Unlonely Project, mereka yang berasa kesunyian boleh berjalan-jalan di luar dan jangan hanya terperap di dalam rumah.
Bergantung kepada individu, mereka boleh menikmati keindahan persekitaran di kawasan tasik, taman botani dan hutan ataupun individu ini boleh bermain dengan haiwan di taman permainan atau di zoo berdekatan.
Menghabiskan masa di kawasan yang dikelilingi oleh keindahan alam semula jadi boleh memberikan kesan fisiologikal dan psikologikal yang positif.
Kajian yang dijalankan oleh Universiti Essex telah menunjukkan bahawa 95% peserta yang melakukan aktiviti di luar rumah mengalami kesan positif terhadap kesihatan mental mereka.
Jika anda berasa sunyi atau tertekan, cuba keluar dari rumah dan pergi berjalan-jalan.
3. Kurangkan penggunaan telefon pintar
Walaupun laman media sosial seperti Instagram dan Facebook mempunyai kebaikannya dari sudut sosial, ia juga boleh menyebabkan anda berasa lebih sunyi.
Bayangkan ketika anda sedang skrol, anda mula membandingkan situasi anda sekarang dengan apa yang dimuat naik oleh rakan anda.
Jika mereka memuat naik gambar sewaktu bercuti dengan keluarga, anda akan berasa sunyi. Jika mereka membuat instastory berkaitan dengan aktiviti sosial mereka juga anda akan berasa sunyi.
Walau bagaimanapun, jika sukar, cuba berkomunikasi dengan individu lain melalui media sosial seperti ajak keluar makan dan sebagainya.
Kurangkan masa skrol media sosial dan gunakan ia untuk memenuhi kehendak interaksi sosial anda. Dengan cara ini, anda akan berasa kurang sunyi.
4. Buat luahan melalui penulisan jika berasa sunyi
Bukan semua individu meminati karya seni. Namun bagi mereka yang suka menceburi bidang ini, anda boleh cuba untuk menulis luahan perasaan di platform tertentu.
Aktiviti menulis bukan sahaja boleh melibatkan pemikiran berkenaan dengan peristiwa masa lampau atau apa yang berlaku sekarang, ia juga menggalakkan penulis untuk memikirkan reaksi pembaca kelak.
Ini bermakna corak pemikiran mereka yang menulis melibatkan masa lampau, masa kini dan masa hadapan. Kebanyakan individu juga cenderung untuk menulis apa yang mereka sukar untuk ungkapkan.
5. Lawat muzium tempatan untuk elakkan kesunyian
Salah satu daripada aktiviti yang boleh dilakukan oleh mereka yang mengalami kesunyian berkait dengan aktiviti di muzium.
Menurut organisasi The Unlonely Project, mereka yang menyertai aktiviti sukarela di muzium menunjukkan tahap kesihatan yang lebih baik selepas satu tahun.
Tidak semestinya anda perlu menjadi sukarela untuk elak kesunyian. Mereka yang berinteraksi semasa melawat muzium juga boleh menikmati kesan positif yang sama.
6. Sertai kelas atau aktiviti berkumpulan
Jika anda berasa sunyi, anda boleh menyertai kelab atau organisasi sukarelawan bagi meluangkan masa anda dengan aktiviti yang berfaedah.
Selain itu, mereka yang menyertai kelab yang melibatkan aktiviti praktikal seperti memasak juga boleh mengumpul pengalaman sepanjang ia sedang berlangsung.
Perkongsian pengalaman tersebut dengan individu lain juga dapat mengeratkan hubungan dan membentuk tali persahabatan dalam usaha untuk membendung masalah kesunyian.
7. Fikirkan tentang mereka yang menyayangi anda
Kesunyian berpunca daripada ketidakstabilan emosi yang mengganggu keseimbangan jiwa menyebabkan seseorang itu berasa diri mereka tidak disayangi.
Ingatlah, walaupun kadangkala anda beranggapan bahawa tiada orang yang menyayangi anda, untuk individu lain, anda mungkin merupakan sumber inspirasi mereka. Oleh sebab itu jugalah pembuatan membunuh diri dianggap sebagai perbuatan yang membunuh orang yang berada di sekeliling kita.
Kesunyian hanyalah topeng kepada rahmat yang telah kita terima. Buka topeng itu dan kira, seberapa banyak rahmat yang telah diberikan.
Konklusi
Kesunyian walaupun sesuatu yang tampak normal, namun jika dibiarkan, boleh melarat menjadi perkara yang serius. Oleh sebab mereka yang sunyi cenderung untuk mendapat kemurungan, ia juga boleh mempengaruhi kualiti hidup seseorang.
Kenal pasti apa yang menyebabkan anda rasa sunyi dan cari jalan penyelesaiannya. Jika anda berasa perasaan tersebut terlalu berat untuk anda hadapi, cari bantuan profesional.
No comments:
Post a Comment