Tawaran Biasiswa HLP Guru 2020


Latar Belakang Pelaksanaan Program Penajaan/Cuti Belajar di Kementerian Pendidikan Malaysia.
KPM menawarkan program penajaan/Cuti Belajar kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) untuk mengikuti pengajian di peringkat pascasiswazah (Ijazah Sarjana dan Kedoktoran) bertujuan untuk membangunkan warga pendidik yang kompeten bagi memenuhi keperluan strategik pendidikan negara demi memartabatkan Profesion Keguruan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Tahun 2013-2025.

Pemberian penajaan atau kemudahan Cuti Belajar juga merupakan satu bentuk penganugerahan dan pengiktirafan kepada PPP yang menunjukkan prestasi cemerlang dan berpotensi untuk menyumbangkan idea baharu serta kreatif dan berinovasi khusus dalam bidang yang diperlukan oleh Kementerian. Setiap tahun, perancangan penajaan dan kelulusan Cuti Belajar bagi PPP adalah diselaraskan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) serta Bahagian Biasiswa dan pembiayaan (sebelum ini Bahagian Tajaan Pendidikan) bertepatan dengan Perancangan Strategik Penajaan Dalam Pembangunan Profesionalisme PPP “Strategic Canvas”.

Antara program yang ditawarkan adalah Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Biasiswa (CBBP DB), Cuti Belajar Bergaji Penuh Tanpa Biasiswa (CBBP TB) dan Hadiah Latihan Persekutuan Separuh Masa/Sambilan (HLPS). CBBP DB dan CBBP TB merupakan program yang dibuka tawarannya kepada PPP untuk mengikuti pengajian secara sepenuh masa di Universiti Awam di dalam dan luar negara. PPP yang berjaya ditawarkan program ini layak diberikan Cuti Belajar Bergaji Penuh sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perintah Am Bab ‘C’ Perkara 36 iaitu selama 2 tahun (4 semester) bagi pengajian di peringkat Ijazah Sarjana serta 3 tahun (6 semester) bagi pengajian peringkat Ijazah Kedoktoran.

Di bawah program CBBP DB, PPP yang berjaya akan menerima penajaan yuran pengajian serta elemen biasiswa sepanjang tempoh pengajian. Manakala, CBBP TB pula tidak menawarkan sebarang elemen biasiswa sama ada pembiayaan yuran pengajian ataupun biasiswa sepanjang tempoh pengajian.

Selain itu, KPM turut menawarkan satu program khas di bawah CBBP DB iaitu Sarjana Kaunseling (Dalam Penyalahgunaan Dadah) atau lebih dikenali sebagai SPADA. Program SPADA ini adalah usahasama Kementerian dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk mempertingkatkan kemahiran guru kaunseling khususnya dalam menangani masalah penagihan dadah dalam kalangan pelajar sekolah. Pegawai yang ditawarkan program ini akan mengikuti pengajian selama 2 tahun atau empat (4) semester.

HLPS pula adalah program penajaan yang ditawarkan kepada PPP yang berhasrat atau sedang melanjutkan pengajian secara separuh masa atau sambilan di universiti awam. Tempoh penajaan yang diberikan kepada pegawai adalah maksimum sehingga 3 tahun (6 semester) bagi pengajian peringkat Sarjana dan sehingga 5 tahun (10 semester) bagi pengajian peringkat Kedoktoran. PPP yang menerima tawaran HLPS berkelayakan untuk menerima penajaan Yuran Pengajian, Elaun Buku dan Elaun Tesis.

PELAKSANAAN PENAWARAN PENAJAAN/CUTI BELAJAR BAGI TAHUN 2020

Bagi tahun 2020, KPM membuka permohonan penajaan/ Cuti Belajar kepada PPP untuk melanjutkan pengajian dalam bidang dan pengkhususan berdasarkan ketetapan dan keperluan KPM. (Sila rujuk Lampiran A – Senarai Bidang Pengajian Program Penajaan/Cuti Belajar Bergaji Penuh Tahun 2020). PPP perlu memastikan bidang yang dimohon adalah berkaitan dengan kelayakan akademik yang telah dimiliki, kesesuaian opsyen atau pengalaman perkhidmatan serta perancangan peningkatan kerjaya pada masa akan datang. PPP juga harus mematuhi ketetapan KPM untuk mengikuti pengajian dalam dua (2) pilihan mod pengajian iaitu Mod Campuran (Kerja Kursus Dengan Disertasi/Tesis) atau Mod Penyelidikan Sepenuhnya bagi pengajian Ijazah Sarjana serta Mod Penyelidikan Sepenuhnya bagi Pengajian Ijazah Kedoktoran.

PPP yang berkelayakan dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui Sistem e-Penawaran di laman sesawang KPM yang dijangka akan dibuka pada 15 Januari 2020. (Sila rujuk LAMPIRAN B – Carta Alir Permohonan Program Penajaan/ Cuti Belajar Bergaji Penuh Tahun 2020). PPP yang berhasrat untuk memohon kemudahan penajaan/Cuti Belajar digalakkan untuk membuat persediaan dan perancangan awal termasuk mengenalpasti universiti-universiti yang menawarkan bidang pengajian yang ingin dimohon (bidang perlu selaras dengan ketetapan KPM sewaktu penawaran dibuka) dan pensyarah yang berkelayakan serta berkepakaran untuk dilantik sebagai penyelia sewaktu pengajian kelak.

KPM akan meneliti dan memilih PPP yang terbaik dan memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk dipanggil temuduga. Sehubungan itu, PPP yang berjaya dipanggil temuduga dinasihatkan untuk membuat persediaan yang baik sebelum menghadiri temuduga termasuk membuat permohonan kemasukan ke Universiti Awam Dalam Negara bagi peringkat Sarjana dan Kedoktoran atau Universiti terkemuka Luar Negara yang ditetapkan KPM bagi peringkat Kedoktoran berdasarkan bidang yang dimohon bagi mengelak kegagalan mendapat tempat untuk kemasukkan sesi September 2019 sekiranya berjaya ditawarkan penajaan/ Cuti Belajar kelak.

Selain itu, PPP perlu menyediakan KERTAS CADANGAN PENYELIDIKAN (dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris untuk pengajian Dalam Negara dan Bahasa Inggeris bagi pengajian Luar Negara) yang berkualiti dan ASLI bersesuaian dengan bidang yang dimohon beserta SLAID pembentangan untuk diserahkan kepada BT dan dibawa semasa sesi temuduga.

PPP yang berjaya temuduga akan menerima Surat Tawaran Bersyarat dan WAJIB menghadiri Program Persediaan bagi suatu tempoh yang akan ditentukan oleh pihak KPM serta LULUS ujian bertulis yang diadakan semasa Program Persediaan tersebut. Kegagalan PPP untuk menghadiri Program Persediaan berkenaan boleh mengakibatkan penawaran terbatal.

PPP yang menerima kemudahan penajaan/Cuti Belajar adalah terikat dengan kontrak perkhidmatan dan tertakluk kepada terma-terma yang terkandung di dalam perjanjian. Selain itu, PPP bertanggungjawab terhadap pengajian dan WAJIB menamatkan pengajian dalam tempoh Cuti Belajar yang diluluskan (Graduate On Time (GOT)).

Sepanjang tempoh Cuti Belajar yang diluluskan, PPP akan mengisi Jawatan Latihan Bahagian Biasiswa dan Pembiayaan (BBP), KPM dan BBP merupakan Ketua Jabatan baharu yang berperanan untuk menguruskan hal-hal perkhidmatan PPP sepanjang tempoh tersebut. Tempoh Cuti Belajar ini juga layak diambil kira bagi tujuan perkiraan faedah-faedah persaraan.
Selain itu, diingatkan bahawa PPP boleh dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat (Time-Based Berdasarkan Kecemerlangan) dalam tempoh mengikuti kursus tersebut sekiranya telah memenuhi syarat dalam skim perkhidmatan berkenaan.

PPP akan kembali berkhidmat setelah tamat tempoh Cuti Belajar sekaligus perlu memanfaatkan sepenuhnya ilmu dan kepakaran yang dimiliki untuk kemajuan diri dan organisasi (pulangan ke atas pelaburan). PPP yang melapor diri akan ditempatkan ke dalam ekosistem pendidikan mengikut keperluan semasa Kementerian serta bersesuaian dengan bidang kepakaran dan kekosongan tempat bagi membolehkan KPM melaksanakan perancangan pembangunan sumber manusia secara berkesan.
Setelah memahami maklumat program penajaan/Cuti Belajar ini, PPP yang berminat perlu meneliti dan memahami syarat-syarat permohonan (rujuk Lampiran C - Syarat-Syarat Permohonan Penajaan/Cuti Belajar Bergaji Penuh Tahun 2019) terlebih dahulu sebelum memohon.

Untuk sebarang perkembangan terkini dan pertanyaan mengenai perkara ini, boleh layari facebook Bahagian Biasiswa dan Pembiayaan (BPP) atau emel ke: epenawaran@moe.gov.my atau hubungi 03-8888 1616.
Bahagian Bahagian Biasiswa dan Pembiayaan (BBP)
Kementerian Pendidikan Malaysia
Faizal Nasir
Faizal Nasir

Ini adalah biografi ringkas penulis artikel. Faizal Nasir guru Sains dan Matematik sekolah menengah. Beliau telah berkhidmat selama 8 tahun di 4 buah sekolah. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains dan Ijazah Sarjana Pendidikan Kimia (UPSI). Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian mana-mana pihak.

No comments:

Post a Comment